Pelajar-pelajar lepasan institusi-institusi kemahiran ‘tidak
sempat’ bergelar penganggur apabila mereka kebiasaannya mendapat kerja sebelum
majlis konvokesyen.
Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian
Sumber Manusia, Datuk Dr. Pang Chau Leong berkata, mengikut statistik, 85
peratus pelajar lulusan institusi-institusi kemahiran sama ada swasta mahupun
kerajaan akan ditawarkan kerja sebaik mereka habis belajar.
Pekerja kimpalan atas kapal yang dilahirkan politeknik dan
vokasional menjanjikan pendapatan bulanan lumayan.
“Pelajar lepasan institut kemahiran terbukti sangat laku di
pasaran. Selalu yang bermasalah graduan lepasan universiti kerap mengadu tiada
kerja,” kata beliau ketika ditemui wartawan di pejabatnya di sini baru-baru
ini.
Beliau turut berasa terkejut apabila dimaklumkan gaji ramai
pelajar institut-institut kemahiran yang suatu ketika dahulu pernah dianggap
‘gagal SPM’ itu dibayar gaji besar sebaik diterima kerja.
Gagal atau keputusan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
tidak seberapa? Jangan risau atau panik.
Pelajar-pelajar yang tidak bernasib baik itu masih mempunyai
peluang untuk mengatur kerjaya yang bakal memberi gaji lumayan.
Mereka boleh memilih melanjutkan pengajian ke
institut-institut pendidikan teknikal atau latihan vokasional (TEVT) sama ada
yang ditawarkan oleh kerajaan mahupun pihak swasta.
Berita baiknya, pendidikan teknikal dan vokasional seperti
kolej komuniti atau politeknik sudah terbukti mampu membentuk pelajar-pelajar
kurang cemerlang di peringkat SPM meraih pendapatan lumayan sehingga ada yang
mencecah RM24,000 sebulan.
Malah ada banyak bukti gaji pelajar lepasan bidang teknikal
atau vokasional mengatasi pelajar lulusan universiti.
Sumber : Kosmo!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan